Dalam usaha menyelamatkan ekonomi daripada gelombang tarif Amerika Syarikat, China ‘burn duit’ sebanyak 9.3 trilion yuan (RM6.2 trilion) hanya dalam tiga bulan pertama 2025.
Perbelanjaan itu telah mencatatkan satu keputusan baharu dan merupakan yang paling tinggi sejak 2022.
Belanja awam ini merangkumi 22% daripada bajet tahunan mereka, melebihi kadar tahun lalu.
Namun strategi itu nampaknya seperti memakan tuan apabila pendapatan kerajaan jatuh 2.6%, jualan tanah merosot 16.5%, dan hasil cukai pula terus susut dua bulan berturut-turut.
Akibatnya, defisit bajet meletup 41% kepada 2.3 trilion yuan.
Jadi adakah ini strategi yang bijak atau sebaliknya?
Dengan eksport berdepan ancaman tarif hingga 245% dari AS, pasaran hartanah terus sendu, dan pengguna masih berjimat cermat, para penganalisis menjangka pertumbuhan China mungkin tenggelam bawah 4% — jauh dari sasaran rasmi 5%.
China mungkin akan terus keluarkan bon, potong kadar faedah, dan longgarkan rizab bank untuk “pam” lebih banyak dana ke dalam sistem.
Persoalannya, adakah dana ini cukup untuk menampung luka ekonomi yang makin parah?