Pasaran telah memberi tumpuan kepada beberapa data ekonomi penting di sesi-sesi akhir penutup minggu lepas.
Antara yang diperhatikan adalah bacaan data PMI khususnya untuk Jerman, United Kingdom (UK) dan juga Amerika Syarikat (AS) yang keseluruhannya menunjukkan angka positif bagi bulan Oktober.
Ini menunjukkan ekonomi utama masih bergerak baik dan AS pula masih berdaya tahan meskipun dilanda tekanan situasi penutupan kerajaan yang berterusan.
Namun, lebih menjadi tumpuan utama adalah laporan inflasi AS yang diterbitkan pada sesi New York Jumaat lalu, menjadi petunjuk penting buat bank pusat menjelang mesyuarat FOMC minggu ini pula.
Indeks harga pengguna (CPI) AS untuk September catatkan peningkatan kepada 3.0% dari paras 2.9% sebelum ini, namun tidak mencapai jangkaan pasaran pada 3.1%.
Ini sedikit memberi sokongan terhadap jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) meneruskan langkah pelonggaran dasar monetari mereka.
Selepas pemotongan kadar faedah pertama tahun ini pada September lalu, pasaran meletakkan jangkaan untuk pemotongan 25 mata asas lagi kadar faedah untuk mesyuarat Oktober.
Sementara itu, sentimen pasaran di pembukaan awal minggu ini kembali dijernihkan dengan perkembangan positif rundingan dagang antara Amerika dan China ketika pertemuan di Malaysia pada hujung minggu.
Kedua-dua pemimpin, Donald Trump dan Xi Jinping dijangka akan memuktamadkan rundingan dalam pertemuan pada Khamis ini di Korea Selatan.






















































