Data baharu dari ADP menunjukkan penambahan pekerjaan sektor swasta di Amerika Syarikat jatuh kepada hanya 37,000 pada Mei, jauh di bawah jangkaan 114,000 dan angka April sebanyak 60,000. Ini merupakan peningkatan paling kecil sejak Mac 2023, mencerminkan keengganan majikan untuk mengambil pekerja baharu di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dan dasar perdagangan yang semakin meruncing.
Menurut Ketua Ekonomi ADP, Nela Richardson, kelembapan ini bukan tanda pasaran buruh runtuh, tetapi lebih kepada sikap berhati-hati syarikat dalam suasana ekonomi yang “berkabut”. Faktor seperti sentimen pengguna yang lemah dan dasar tarif Presiden Trump termasuk penangguhan tarif AS-China selama 90 hari yang turut menyumbang kepada suasana tidak menentu dalam pasaran buruh.
Namun begitu, data menunjukkan pasaran buruh masih memiliki kekuatan, dengan pertumbuhan gaji kekal kukuh, pekerja yang bertukar kerja mendapat kenaikan gaji sebanyak 7%. Manakala mereka yang kekal menerima 4.5%. Richardson menekankan bahawa walaupun momentum pengambilan pekerja perlahan, ia masih cukup untuk menyokong perbelanjaan pengguna dan memberi ruang kepada Rizab Persekutuan untuk kekal berhati-hati dalam dasar kadar faedah.
Presiden Trump, melalui Truth Social, segera menggunakan angka ini untuk menggesa Pengerusi Fed, Jerome Powell, supaya mengurangkan kadar faedah. Walaupun ketidaktentuan masih menyelubungi pasaran buruh, Richardson menjangka lebih banyak aktiviti pengambilan akan berlaku sebaik sahaja suasana ekonomi menjadi lebih jelas.