Inflasi meningkat di Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol pada bulan ini, mendorong jangkaan bahawa bacaan keseluruhan zon Eropah akan melebihi 2% pada September. Peningkatan ini mengurangkan tekanan terhadap Bank Pusat Eropah (ECB) untuk menurunkan kadar faedah lanjutan selepas pengurangan besar awal tahun ini.
Kenaikan inflasi banyak dipengaruhi oleh penurunan harga tenaga yang lebih kecil berbanding bulan sebelumnya, manakala inflasi teras hanya meningkat sederhana. Keadaan ini memberi sedikit kelegaan kepada pembuat dasar, meskipun persekitaran harga masih kabur kerana faktor geopolitik, perdagangan dan tenaga.
Data menunjukkan inflasi melonjak kepada 2.4% di Jerman, 1.1% di Perancis, 3.0% di Sepanyol dan 1.8% di Itali. Bacaan ini menguatkan jangkaan bahawa inflasi zon Eropah keseluruhan akan berada pada 2.2% hingga 2.3%, lebih tinggi daripada 2.0% pada Ogos.
Waima begitu, pakar ekonomi menjangka kenaikan ini hanya bersifat sementara. Inflasi dijangka turun mendadak awal tahun hadapan kerana kesan asas statistik, dengan ECB sendiri mengunjurkan bacaan 1.7% pada 2026, di bawah sasaran 2%.
Walaupun begitu, terdapat perdebatan dalam kalangan pembuat dasar. Sebahagian bimbang inflasi rendah boleh mendorong jangkaan harga yang lemah, manakala pihak hawkish menegaskan faktor seperti perbelanjaan pertahanan yang lebih tinggi dan pengurangan integrasi perdagangan boleh mengekalkan tekanan inflasi.