Pasaran saham global melonjak pada awal minggu di tengah harapan bahawa Amerika Syarikat dan China semakin hampir mencapai perjanjian perdagangan. Kenaikan besar dicatat di pasaran Asia, dengan Nikkei Jepun menembusi 50,000 mata buat kali pertama dan Kospi Korea Selatan melonjak lebih 2.5%.
Indeks Stoxx 600 Eropah meningkat 0.3%, disokong sektor teknologi, perindustrian dan perlombongan dimana ini adalah kumpulan saham yang biasanya sensitif terhadap isu perdagangan. Pasaran niaga hadapan AS turut meningkat menjelang pembukaan, dengan Nasdaq 100 naik 1.2%.
Penganalisis IBOSS, Rupert Thompson, berkata berita perdagangan terkini menjadi pemacu utama lonjakan global dan menguatkan jangkaan terhadap gencatan dagang jangka panjang. Namun beliau memberi amaran bahawa ketegangan geopolitik masih belum reda dan tindakan tarif baharu terhadap Kanada menunjukkan ketidaktentuan dasar perdagangan AS.
Sementara itu, Christian Mueller-Glissmann dari Goldman Sachs berkata pasaran kini berada dalam fasa perlahan akhir kitaran ekonomi, namun peningkatan kecairan boleh memberi dorongan baharu kepada pertumbuhan global. Bank tersebut mengekalkan pandangan berhati-hati.
Walaupun sentimen optimistik mendominasi awal minggu, penganalisis menegaskan risiko geopolitik dan dasar tarif yang tidak menentu masih boleh mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran global menjelang akhir tahun.


















































