Do Kwon, pengasas mata wang kripto TerraUSD dan Luna yang mencetuskan kontroversi pada tahun 2022 telah mengaku tidak bersalah atas tuduhan penipuan di mahkamah Amerika Syarikat (AS).
Tuduhan itu berpunca daripada kejatuhan mata wang digitalnya, mencatatkan kerugian dengan anggaran $40 bilion pada 2022.
Kwon, 33, menghadapi sembilan pertuduhan di mahkamah persekutuan Manhattan, di mana pendakwa raya menuduhnya mengelirukan pelabur dan memanipulasi pasaran.
Mengikut pertuduhan, Kwon secara palsu mendakwa bahawa program komputer yang dipanggil “Terra Protocol” menstabilkan TerraUSD, sebuah stablecoin yang bertujuan untuk mengekalkan nilai yang stabil pada $1 dolar.
Pendakwa raya mendakwa beliau secara rahsia menggunakan firma perdagangan untuk menaikkan harga syiling itu pada 2021.
Menjelang awal 2022, nilai gabungan token ini mencecah $50 bilion.
Walau bagaimanapun, apabila TerraUSD jatuh sekali lagi pada Mei 2022 ianya menjejaskan pasaran kripto secara meluas.
Kwon, yang diekstradisi dari Montenegro, di mana beliau menghadapi pertuduhan berasingan, kekal dalam tahanan dan akan kembali dibicarakan di mahkamah pada 8 Januari.