Dolar A.S. pulih sedikit daripada paras terendah tujuh minggu, dengan pedagang menunggu dua faktor utama iaitu semakan benchmark payrolls dan data inflasi Ogos. Jangkaan semakan ke bawah setinggi 800,000 pekerjaan serta bacaan CPI yang kekal “menyengat” dengan CPI pada jangkaan bacaan 2.9. Ini dilihat boleh mengukuhkan keputusan Fed untuk mengurangkan kadar pada mesyuarat minggu hadapan.
Di Eropah, euro melemah apabila krisis politik Perancis memuncak selepas kerajaan tumbang kerana isu belanjawan. Ketidaktentuan mengenai pembentukan kerajaan baharu menambah tekanan ke atas EUR/USD, sementara ECB dijangka mengekalkan kadar tidak berubah pada Khamis. Pound pula mengekalkan lantunan sederhana, disokong kelemahan dolar.
Di Asia, pergerakan mata wang bercampur tetapi cenderung positif berbanding dolar AS. Yen mengalami turun naik besar susulan peletakan jawatan mengejut PM Jepun, sekali gus menjarakkan lagi kemungkinan kenaikan kadar BoJ. Yuan mengukuh ke paras tertinggi 10 bulan selepas PBoC menetapkan kadar tengah yang lebih kukuh, menandakan sokongan dasar berterusan.
Dari sudut pertumbuhan serantau, AUD/ USD naik ke paras tertinggi tujuh minggu walaupun sentimen pengguna Australia merosot. Secara keseluruhan, gabungan data buruh A.S. yang lemah, prospek pemotongan kadar Fed dan perkembangan politik Eropah menjadi pemacu utama aliran FX jangka pendek, dengan dolar AS cuba menstabil sementara pasaran menunggu pengesahan data.