Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijadualkan berlepas dari Washington pada malam esok dan tiba di Malaysia pada Ahad pagi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt.
Pada jam 11 malam Sabtu (waktu tempatan), Trump akan meninggalkan White House dan berlepas ke Malaysia. Ia merupakan penerbangan yang panjang.
Katanya lagi, Trump dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sebelah petang, sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Pemimpin ASEAN.
Trump turut dijadualkan berlepas ke Tokyo pada pagi Isnin untuk mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.
Seterusnya pada Rabu, beliau akan tiba di Busan untuk bertemu Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung.
Trump juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping pada Khamis sebelum kembali ke Washington.
























































