Presiden Donald Trump dijangka dalam beberapa hari akan datang menamakan pengganti bagi dua kekosongan penting satu jawatan di Rizab Persekutuan (Fed) dan satu lagi sebagai ketua Biro Statistik Buruh (BLS).
Kedua-dua jawatan ini kosong pada Jumaat lalu dengan jawatan di Fed susulan peletakan jawatan mengejut Gabenor Adriana Kugler, manakala jawatan di BLS kosong selepas keputusan mengejut Trump memecat pesuruhjayanya, Erika McEntarfer. Trump memberitahu media bahawa beliau sedang mempertimbangkan beberapa calon dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.
Kugler, yang tempohnya dijadual tamat Januari depan, memilih untuk berundur lebih awal tanpa menyatakan sebab dalam surat perletakan jawatan kepada Trump. Sepanjang hampir dua tahun berkhidmat, beliau kerap menyokong dasar Pengerusi Jerome Powell, dimana beliau sering menjadi sasaran kritikan Trump. Pengunduran ini membuka peluang kepada Trump untuk melantik calon yang selari dengan visinya, termasuk bekas Gabenor Fed Kevin Warsh, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, atau Pengarah Majlis Ekonomi Negara Kevin Hassett. Trump sebelum ini menyatakan calon Fed akan disaring berdasarkan kesediaan mereka untuk mengundi menurunkan kadar dana utama.
Sementara itu, pemecatan McEntarfer berlaku selepas laporan pekerjaan Julai yang mengecewakan, dengan ekonomi hanya menambah 73,000 pekerjaan dan semakan semula bagi dua bulan sebelumnya mengurangkan angka sebanyak 258,000. Trump menuduh McEntarfer melakukan “kesilapan pengiraan terbesar dalam tempoh lebih 50 tahun.” Kritikan meluas menyusul, dengan kebimbangan tindakan ini boleh mempolitikkan data rasmi buruh yang menjadi penanda aras penting dalam penetapan dasar ekonomi. Buat masa ini, Timbalan Pesuruhjaya William Wiatrowski memegang jawatan sebagai pemangku ketua BLS.