Ekonomi zon Eropah terus menunjukkan ketahanan meskipun ketidaktentuan global akibat perang perdagangan semakin meluas, menurut pelbagai data terkini yang dikeluarkan pada Jumaat ditengah tatkala penggubal dasar Bank Pusat Eropah (ECB) dilihat semakin berhati-hati dalam memberi isyarat mengenai potensi pengurangan kadar faedah selanjutnya.
ECB mengekalkan kadar faedah pada paras semasa pada Khamis, dan penilaian yang sedikit optimis terhadap keadaan ekonomi zon Eropah telah meningkatkan jangkaan pasaran bahawa kitaran pelonggaran dasar yang berlangsung selama setahun yang mengurangkan kadar utama daripada 4% kepada 2%. Ini dilihat mungkin akan berakhir tidak lama lagi. Data pinjaman menunjukkan kadar pengembangan terpantas dalam dua tahun, manakala satu tinjauan utama ECB meramalkan pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas dengan kadar inflasi yang tepat pada sasaran.
Dalam masa yang sama, tinjauan Ifo di Jerman mencatat peningkatan untuk bulan ketujuh berturut-turut satu petunjuk bahawa ekonomi terbesar dalam blok tersebut masih bergerak maju walaupun eksport dan pelaburan korporat terjejas akibat ketegangan perdagangan. Data ini menyokong kenyataan Presiden ECB, Christine Lagarde, bahawa prestasi ekonomi zon Eropah mungkin “sedikit lebih baik” daripada jangkaan pada suku lepas.
Susulan perkembangan ini, pelabur semakin mengurangkan pertaruhan terhadap kemungkinan pemotongan kadar faedah tambahan. Kini, pasaran hanya menjangkakan 50% kebarangkalian bagi langkah pelonggaran seterusnya tahun ini sebagai satu perubahan ketara berbanding awal minggu apabila satu lagi pengurangan kadar sudah hampir pasti. Namun begitu, penggubal dasar kekal lebih berwaspada berbanding pelabur, dengan Ketua Bank Pusat Perancis, François Villeroy de Galhau, mengingatkan bahawa risiko terhadap pertumbuhan masih condong ke arah negatif.
Salah satu kebimbangan utama ialah pertumbuhan yang perlahan, kekuatan euro dan kesan tarif yang berpotensi mengurangkan tekanan harga dan sekaligus membahayakan sasaran inflasi 2% ECB. Villeroy menambah bahawa tarif dari AS dijangka tidak mendorong inflasi, malah pengukuhan euro memberi kesan penyahinflasi yang ketara. Ketua Bank Pusat Finland, Olli Rehn pula menggesa agar keputusan tidak ditangguh terlalu lama, sambil menegaskan bahawa menunggu ketidaktentuan reda di bawah pentadbiran AS ketika ini bukanlah strategi yang bijak.
Sementara itu, beberapa institusi kewangan utama seperti Goldman Sachs, BNP Paribas, Nomura dan Commerzbank telah membatalkan ramalan mereka untuk pelonggaran dasar tambahan tahun ini.