Walaupun tidak lagi secara terbuka bertelagah dengan Presiden Donald Trump, Elon Musk jelas belum menghentikan tentangannya terhadap dasar fiskal yang dibawa oleh pemimpin Republikan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu mengkritik keras rang undang-undang cukai dan perbelanjaan besar yang kini sedang didorong Trump untuk diluluskan di Kongres.
Beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai Rang Undang-undang ‘Perhambaan Hutang’ yang merujuk kepada potensi beban jangka masa panjang kepada negara dan rakyat Amerika Syarikat.
Dalam kenyataan lantangnya, Musk turut menyasarkan ahli-ahli Republikan yang menyokong dasar itu, malah memanggil mereka secara terbuka dan memberi amaran bahawa mana-mana konservatif fiskal yang menyokong rang undang-undang berkenaan akan berdepan cabaran serius pada pemilihan utama akan datang.
Walau bagaimanapun, Elon Musk sebelum ini dilaporkan telah membelanjakan sekitar $290 juta dalam memberikan sokongan kepada Donald Trump dan Parti Republikan semasa pilihan raya 2024.
Kini, beliau seakan-akan memberi isyarat tentangannya serta ingin mewujudkan perubahan besar dalam hala tuju politik peribadinya.
Langkah ini dijangka menambah tekanan ke atas kem Republikan, terutamanya ketika parti itu sedang berusaha memantapkan semula dasar ekonomi mereka menjelang pilihan raya akan datang.
Elon Musk dalam ciapannya di platform media sosial X, berkata setiap ahli Kongres yang berkempen untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, tetapi mengundi untuk peningkatan hutang terbesar dalam sejarah seharusnya berasa malu.
Beliau turut bertekad akan tewaskan mereka dalam pemilihan utama mereka pada tahun depan.
Ancaman Musk untuk menggulingkan ahli Republikan yang menyokong rang undang-undang itu dijangka memberi kesan lebih besar di Dewan Perwakilan berbanding di Senat. – CNBC
Pasaran bergerak pantas, peluang terbaik datangnya daripada mereka yang bersedia. Anda tak nak terlepas? Rebut peluang untuk sertai program HUSTLE24HOUR untuk tingkatkan level anda dalam trading selepas ini. KLIK LINK UNTUK JOIN H24H!