Setelah sekian lama menanti, akhirnya terjawab persoalan berkenaan keputusan mesyuarat FOMC terbaru walaupun ramai sudah menjangka skrip untuk September.
Federal Reserve (Fed) pada awal pagi ini telah melaksanakan pemotongan kadar faedah kali pertama setelah kali terakhir melakukanya pada Disember tahun lalu.
Seperti yang dijangka, kadar faedah diturunkan 25 mata asas daripada 4.50% kepada 4.25% dengan isyarat pemotongan lanjut akan menyusul selepas ini.
Unjuran dari ahli FOMC menunjukkan bakal ada dua kali lagi pemotongan kadar faedah pada baki mesyuarat di penghujung 2025.
Berucap selepas pengumuman kadar faedah itu, Pengerusi Fed Jerome Powell masih menekankan risiko pasaran buruh di Amerika Syarikat (AS) dengan kebimbangan bahawa pertumbuhan tenaga kerja tidak lagi mencukupi untuk mengekalkan kadar pengangguran.
Walaupun begitu, Powell memaklumkan bahawa bank pusat tidak perlu untuk tergesa-gesa dalam meneruskan pelonggaran dasar dan pastinya data-data terbaru yang hadir selepas ini akan menjadi pemacu utama.
Reaksi pergerakan harga pula agak mengejutkan pelabur dengan ketidaktentuan arah yang dipaparkan pada dagangan mata wang utama.
US dolar melemah ketara ketika reaksi awal keputusan kadar faedah tersebut, namun tidak menunggu lama untuk kembali ‘reverse’ mengukuh semula menuju dagangan penutup sesi New York.
Situasi ‘roller-coaster’ harga ini sebenarnya bukanlah suatu yang mengejutkan buat penganalisis pasaran yang menjelaskan pergerakan tak menentu itu boleh berlaku dalam pada para pemain pasaran masih menghadam keputusan mesyuarat bank pusat.
Untuk pergerakan jangka panjang, US dolar dinilai akan bergerak dalam tekanan setelah jelas Fed kini meneruskan kembali langkah pelonggaran dasar mereka.