Google akan membeli tenaga elektrik daripada projek solar yang dibangunkan di Gurun, Kedah oleh konsortium yang diketuai pemaju tenaga boleh diperbaharui berpangkalan di Jepun, Shizen Energy Group.
Shizen Energy memaklumkan projek solar berskala utiliti berkapasiti 29.99 megawatt itu telah mencapai penutupan kewangan hasil pembiayaan yang disediakan oleh United Overseas Bank (UOB).
Projek berkenaan dijadualkan memulakan operasi komersial pada tahun 2027.
Malaysia dilihat sebagai pasaran strategik utama oleh Shizen Energy, selari dengan rancangan syarikat itu untuk terus memperkukuh kedudukannya dan mengembangkan kehadiran di rantau Asia Tenggara.
Dalam perkembangan berkaitan, UOB Malaysia bertindak sebagai pengatur utama yang diwajibkan serta pemberi pinjaman tunggal bagi kemudahan pembiayaan projek tersebut. Shizen Energy turut memaklumkan bahawa pelaksanaan projek ini akan melibatkan kerjasama rakan kongsi tempatan dan serantau.
Syarikat itu turut menegaskan kejayaan mencapai penutupan kewangan mencerminkan kekuatan kerjasama dengan rakan strategik seperti Solarvest dan HSS, di samping sokongan berterusan daripada agensi kerajaan dan pihak berkuasa negeri sepanjang proses pembangunan projek.
Setakat ini, kapasiti terpasang kumulatif Shizen Energy di Malaysia mencecah kira-kira 60 megawatt, merangkumi projek solar atas bumbung bagi pelanggan korporat termasuk Top Glove Corporation Bhd serta pengeluar cendawan utama, Hokto Malaysia Sdn Bhd.



















































