Mendatar pada pembukaan awal minggu, US dolar kemudiannya mula memaparkan pengukuhan pada dagangan di sesi Eropah semalam.
Namun raja mata wang itu gagal mengekalkan momentum positif tersebut apabila kembali alami penyusutan nilai semula pada sesi New York.
Ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China kini menjadi isu tumpuan utama pasaran sementara perkembangan situasi penutupan kerajaan AS kekal dipantau.
Presiden Donald Trump telah mengumumkan 100% tarif tambahan terhadap import China yang akan berkuat kuasa pada 1 November, sebagai tindak balas China yang mengehadkan eksport nadir bumi.
China belum memutuskan untuk tindakan balas sementara AS pula menyatakan bahawa pintu rundingan masih terbuka buat China.
Data inflasi China akan diberi tumpuan pada penerbitan di sesi Asia hari ini (Rabu) untuk pelabur menilai kesihatan ekonomi kedua terbesar dunia itu.
US dolar yang kembali melemah memberi ruang untuk mata wang utama ‘bernafas’ semula selepas tekanan dari minggu lalu.
Euro sedikit pulih dengan perkembangan di Perancis apabila kerajaan mencadangkan penangguhan pembaharuan pencen “landmark pension” sehingga pemilihan presiden 2027.
Pound susut ketara di sesi Eropah semalam dipengaruhi oleh laporan pekerjaan yang kurang memberangsangkan. Kadar pengangguran UK catat peningkatan kepada 4.8% untuk bulan Ogos, tertinggi dalam tempoh 4 tahun.
Dolar Aussie dan Kiwi turut terjejas dengan kejatuhan nilai ke paras terendah baharu beberapa bulan dalam sentimen pasaran yang tidak menentu.
Sementara yen pada minggu ini sedikit pulih berbanding prestasi merosot minggu sebelumnya susulan reaksi pasaran terhadap kemenangan Sanae Takaichi dalam pemilihan pimpinan parti Demokratik Liberal Jepun.