Penutupan kerajaan persekutuan Amerika Syarikat selama dua minggu dijangka menelan kerugian kira-kira $15 bilion seminggu kepada ekonomi negara itu, menurut seorang pegawai Perbendaharaan lewat Rabu.
Kenyataan itu membetulkan anggaran awal oleh Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, yang sebelum ini menyatakan kos penutupan boleh mencecah $15 bilion sehari.
Menurut pegawai tersebut, anggaran baharu itu bersandarkan laporan Majlis Penasihat Ekonomi White House.
Bessent sebelum ini menggunakan angka salah dalam dua penampilan awam berasingan pada Rabu, sambil menggesa Demokrat untuk menjadi ‘wira’ iaitu bekerjasama dengan Republikan bagi menamatkan penutupan tersebut.
Beliau berkata penutupan kerajaan itu kini mula merosakkan asas ekonomi AS yang sebelum ini menunjukkan prestasi kukuh.
Terkini, Bessent menjelaskan gelombang pelaburan ke dalam ekonomi AS termasuk dalam sektor kecerdasan buatan (AI) kekal kukuh dan baru bermula. Namun, beliau menegaskan penutupan kerajaan semakin menjadi penghalang kepada momentum pertumbuhan.
Katanya lagi, Presiden Donald Trump telah melancarkan ledakan ini melalui dasar-dasarnya .
Insentif di bawah undang-undang cukai Republikan dan tarif Trump dijangka terus mendorong pelaburan dan menyokong pertumbuhan jangka sederhana.