Harga minyak mentah global mencatatkan kenaikan pada dagangan pembukaan awal minggu semalam didorong oleh sentimen optimis yang meningkat dalam pasaran.
Ini berikutan harapan untuk berakhirnya situasi penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang telah memasuki hari ke-40, sekali gus membayangkan pemulihan permintaan dari pengeluar terbesar dunia itu.
Niaga hadapan bagi minyak mentah Brent crude naik sebanyak 0.74 % kepada $64.10 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat sebanyak 0.84 % kepada $60.25 setong.
Peningkatan pasaran ini sebahagian besar dipacu oleh berita bahawa Dewan Senat AS secara rasmi menggerakkan babak undi untuk membuka semula kerajaan.
Tindakan tersebut dilihat akan memulihkan pendapatan pekerja kerajaan yang digantung gaji dan meningkatkan keyakinan pengguna serta perbelanjaan.
Walaupun sentimen pasaran meningkat, kebimbangan terhadap lebihan bekalan global masih mengekang kenaikan harga.
Peningkatan stok minyak di Amerika dan jumlah pemuatan minyak yang tinggi di kapal tangki Asia menunjukkan bekalan masih kukuh walaupun permintaan mungkin meningkat.
Dalam pada itu, pengumuman oleh OPEC+ untuk meningkatkan sedikit pengeluaran pada Disember dan menghentikan kenaikan selanjutnya suku pertama 2026 turut memberi isyarat bahawa bekalan berlebihan masih menjadi risiko utama kepada pasaran minyak.






















































