Harga minyak mentah susut pada awal dagangan Khamis, selepas Israel dan Hamas bersetuju dengan fasa pertama pelan untuk menyelesaikan konflik Gaza.
Keputusan itu menyebabkan “war risk premium” merosot dan mendorong pelabur melepaskan posisi belian minyak mereka.
Minyak mentah Brent mencatat penurunan sebanyak $0.51, atau 0.77%, kepada $65.74 setong, manakala minyak WTI susut $0.55, atau 0.88%, kepada sekitar $62.00 setong.
Konflik di Gaza sebelum ini menjadi salah satu pendorong kenaikan harga minyak, kerana kebimbangan bahawa ia boleh melarat menjadi konflik serantau yang mengganggu bekalan tenaga global.
Namun dengan harapan baru terhadap gencatan senjata, sebahagian daripada tekanan geopolitik itu berkurangan.
Selain itu, data daripada Agensi Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa jumlah bekalan produk petroleum mingguan di AS meningkat kepada 21.990 juta tong sehari, paras tertinggi sejak Disember 2022.
Pelabur kekal memantau dengan teliti perkembangan konflik Timur Tengah, data bekalan AS serta polisi OPEC+ yang boleh mempengaruhi bekalan minyak global.