Harga runcit petrol tanpa subsidi bagi RON97 dan RON95 di seluruh Malaysia turun sebanyak tiga sen dan dua sen, masing-masing kini berharga RM3.24 dan RM2.62 seliter, berkuat kuasa dari 18 hingga 24 Disember 2025.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), harga diesel di Semenanjung Malaysia juga dikurangkan empat sen kepada RM3.02 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter sepanjang tempoh yang sama.
Harga petrol bersubsidi RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) pula kekal pada kadar RM1.99 seliter.
Kerajaan menegaskan akan terus memantau perkembangan pasaran minyak dunia dan menyesuaikan harga runcit petrol RON97, RON95 serta diesel bagi memastikan kestabilan harga serta melindungi kepentingan pengguna.
Memetik laporan BERNAMA, penetapan harga mingguan petroleum dibuat mengikut formula Mekanisme Harga Automatik, sejajar dengan dasar penetapan harga produk petroleum negara.
Kerajaan juga komited untuk mengambil langkah proaktif dalam menghadapi perubahan harga minyak mentah dunia demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.





















































