Dua pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) terhempas semalam di Laut China Selatan dalam insiden berasingan, tanpa sebarang kematian dilaporkan.
Menurut kenyataan daripada Armada Pasifik Tentera Laut AS, nahas pertama melibatkan sebuah helikopter MH-60R Sea Hawk yang terhempas di perairan Laut China Selatan semasa menjalankan operasi rutin dari kapal pengangkut pesawat USS Nimitz.
Ketiga-tiga anak kapal di atas helikopter itu berjaya diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Kira-kira setengah jam kemudian, sebuah jet pejuang Boeing F/A-18F Super Hornet terhempas ke Laut China Selatan semasa menjalankan operasi rutin dari USS Nimitz, menurut Tentera Laut AS.
Kedua-dua anak kapal jet itu melompat keluar dan ditemukan dalam keadaan selamat serta stabil.
Nahas itu berlaku semasa lawatan pertama Presiden AS, Donald Trump ke Asia dalam penggal keduanya, ketika Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth bersiap sedia untuk memulakan jelajah ke beberapa negara Asia.
Setakat ini, pihak Tentera Laut AS masih menjalankan siasatan bagi menentukan punca kedua-dua insiden berkenaan.























































