Di tengah ketegangan hubungan di antara Rusia dan Ukraine, kini Kyiv berada di hujung tanduk apabila krisis menyerang hubungan negara tersebut bersama Hungary apabila Budapest mengugut untuk memutuskan bekalan elektrik ke Kyiv selepas siri serangan dron Ukraine memusnahkan stesen paip minyak Druzhba di wilayah Rusia.
Serangan pertama minggu lalu merosakkan stesen agihan di Bryansk hingga menangguhkan penghantaran minyak ke Hungary dan Slovakia. Serangan kedua pula menyasarkan stesen pam Nikolskoye di wilayah Tambov pada Isnin, menyebabkan aliran minyak sekali lagi terhenti.
Menteri Luar Hungary, Péter Szijjártó, mengecam tindakan itu sebagai “tidak masuk akal sambil memberi amaran bahawa elektrik dari Hungary adalah “nadi penting” yang menggerakkan Ukraine.
Ukraine bagaimanapun menolak kritikan itu, dengan Menteri Luar Andrii Sybiha mengingatkan bahawa perang dimulakan Rusia, sambil menuduh Budapest terlalu bergantung kepada tenaga Moscow.
Kenyataan itu tidak menenangkan keadaan, malah Perdana Menteri Viktor Orbán menambah tekanan apabila mendakwa Ukraine boleh lumpuh hanya dalam sehari jika Budapest menutup bekalan elektrik.
Data rasmi kerajaan Hungary menunjukkan Kyiv mengimport lebih 2.14 terawatt-jam elektrik dari negara itu iaitu hampir 40% daripada jumlah keperluannya.
Kesatuan Eropah (EU) dalam kenyataan ringkas memaklumkan pihaknya sedang berhubung rapat dengan Hungary dan Slovakia, sambil menekankan bahawa keselamatan tenaga rantau itu kekal sebagai keutamaan utama.