Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital memaklumkan bahawa Indonesia telah menarik balik penggantungan lesen operasi tempatan TikTok selepas platform media sosial itu menyerahkan data yang diminta kerajaan berhubung siri protes baru-baru ini.
Kementerian itu menjelaskan bahawa lesen operasi aplikasi berkenaan digantung sementara kerana gagal menyerahkan data mencukupi berkaitan penggunaan ciri siaran langsung ketika protes anti-kerajaan pada Ogos lalu.
Pada hari yang sama, TikTok menyerahkan data yang diminta, menurut Ketua Pengarah kementerian, Alexander Sabar.
Jurucakap TikTok enggan mengulas lanjut, namun syarikat itu sebelum ini menegaskan bahawa ia sentiasa mematuhi undang-undang di setiap negara tempat beroperasi.
Indonesia merupakan pasaran kedua terbesar bagi TikTok yang dimiliki oleh syarikat China, ByteDance, dengan lebih daripada 100 juta pengguna.
Syarikat itu menghadapi beberapa cabaran dalam menjalankan operasinya di Indonesia.
Pada Ogos lalu, ciri siaran langsung aplikasi itu digantung sementara berikutan protes ganas yang meletus selepas kematian seorang lelaki akibat dirempuh kenderaan polis.
Agensi antimonopoli Indonesia pada Isnin lalu mengenakan denda sebanyak $900,000 (RM3.7 juta) terhadap TikTok kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai pengambilalihan platform e-dagang Tokopedia dalam tempoh yang ditetapkan.