Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menawarkan penghantaran sekurang-kurangnya 20,000 anggota tentera sebagai pasukan pengaman ke Gaza bagi memastikan sebarang perjanjian damai pada masa hadapan terjamin.
Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Prabowo menegaskan bahawa negara Islam terbesar di dunia itu menginginkan keamanan dan menekankan bahawa ‘kuat tidak bermakna betul.’
Beliau menambah Indonesia bersedia menghantar lebih 20,000 anggota sebagai pasukan pengaman bagi menjaga keamanan di Gaza selepas Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan UNGA membuat keputusan.
Pemimpin Indonesia itu juga menyatakan kesediaan negaranya untuk menghantar pasukan pengaman ke negara lain, termasuk Ukraine, Libya dan Sudan.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Arab telah berbincang selama berbulan-bulan mengenai pelan pasca perang di Gaza, tetapi setakat ini masih belum mencapai kata sepakat.
Perancis dan Arab Saudi pula menggesa supaya misi antarabangsa sementara diwujudkan bagi menstabilkan Gaza sebagai sebahagian daripada pelan gencatan senjata.
Israel telah melancarkan serangan udara dan darat besar-besaran ke atas Bandar Gaza, memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri dari pusat bandar terbesar wilayah itu.
Jurucakap pertahanan awam Gaza melaporkan bahawa pasukan Israel membunuh sekurang-kurangnya 15 penduduk Palestin semalam selepas mengebom rumah dan khemah di Gaza.