Harga pengguna di Amerika Syarikat meningkat pada bulan Jun apabila tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump mula perlahan-lahan memberi kesan kepada ekonomi negara itu.
Indeks Harga Pengguna (CPI) yang menjadi ukuran menyeluruh bagi kos barangan dan perkhidmatan meningkat sebanyak 0.3% pada bulan tersebut, menjadikan kadar inflasi tahunan kepada 2.7%, menurut Biro Statistik Buruh (BLS) pada hari Selasa. Angka ini sejajar dengan unjuran konsensus Dow Jones.
Jika tidak termasuk harga makanan dan tenaga yang tidak menentu, inflasi teras meningkat 0.2% untuk bulan tersebut, dengan kadar tahunan mencapai 2.9% juga sejajar dengan jangkaan. Walau bagaimanapun, bacaan bulanan ini sedikit di bawah unjuran peningkatan 0.3%.
Sebelum bulan Jun, kadar inflasi menunjukkan trend penurunan sepanjang tahun, dengan CPI utama pada kadar tahunan 3% pada Januari dan perlahan secara beransur-ansur dalam bulan-bulan seterusnya meskipun terdapat kebimbangan bahawa perang perdagangan Trump akan melonjakkan harga.
Walaupun data bagi bulan Jun bercampur-campur mengenai sejauh mana tarif mempengaruhi harga, terdapat tanda-tanda bahawa duti berkenaan mula memberi kesan.
Harga kenderaan menurun bulan lalu, dengan harga kenderaan baharu susut 0.3% manakala kenderaan terpakai dan trak jatuh 0.7%. Namun begitu, harga pakaian yang sensitif terhadap tarif meningkat 0.4%. Perabot isi rumah, yang juga terkesan oleh tarif, melonjak 1% bulan itu.
Harga tempat tinggal meningkat hanya 0.2% untuk bulan tersebut, namun kategori ini masih merupakan penyumbang terbesar kepada kenaikan keseluruhan CPI. Indeks tempat tinggal meningkat 3.8% berbanding tahun lalu. Dalam kategori ini, anggaran pendapatan sewa yang pemilik rumah rasa mereka boleh dapat jika menyewakan kediaman naik 0.3%, manakala kos penginapan di luar rumah menurun 2.9%.
Sementara itu, harga makanan naik 0.3% bulan itu, menjadikan kadar tahunan 3%. Harga tenaga pula meningkat 0.9% selepas susut pada Mei, namun masih lebih rendah sedikit berbanding tahun sebelumnya. Perkhidmatan penjagaan kesihatan meningkat 0.6%, manakala perkhidmatan pengangkutan naik 0.2%.