Dolar AS mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama pada Khamis menjelang pengeluaran data inflasi pengguna AS yang tertunda. Pedagang turut menilai ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing ditengah mata wang euro dan sterling kekal dalam julat sempit.
Mata wang AS mengukuh 0.5% kepada 152.69 yen, manakala euro susut 0.2% kepada AS$1.1589. Data inflasi yang akan dikeluarkan pada Jumaat akan digunakan untuk membantu pelarasan kos sara hidup tahunan bagi 2026, walaupun tumpuan dasar Federal Reserve kini beralih kepada pasaran buruh.
Yen terus melemah, menghampiri paras terendah tujuh bulan, selepas pelantikan Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi, yang dikenali dengan pendekatan fiskal dan monetari longgar. Pasaran kini menunggu butiran sebenar pakej rangsangan ekonomi negara itu.
Sterling pula susut sedikit kepada AS$1.3338 selepas data inflasi UK yang lemah meningkatkan jangkaan terhadap satu lagi pemotongan kadar faedah oleh Bank of England. Sementara itu, krona Norway mengukuh di bawah paras 10 per dolar berikutan kenaikan harga minyak, manakala euro jatuh ke paras terendah sebulan.
Franc Switzerland kekal lemah berhampiran 0.92 per euro, tahap yang penganalisis percaya boleh mencetuskan campur tangan SNB. Société Générale menjangka pasangan EUR/CHF mungkin melonjak dalam masa terdekat jika tekanan terhadap franc berterusan.