Tumpuan pasaran terarah kepada data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada sesi New York semalam yang menjadi petunjuk penting kepada hala tuju bank pusat.
Meneliti laporan data yang diterbitkan, indeks harga pengguna (CPI) AS untuk bulan Disember lalu tepati ramalan untuk meningkat kepada 2.9% daripada 2.7% sebelumnya.
Ini menjadi petunjuk baharu kepada Federal Reserve (Fed) yang menguatkan jangkaan untuk pelonggaran dasar monetari semakin diperlahankan.
Ini menyusuli petunjuk pada minggu lepas pada laporan pekerjaan NFP AS terbaru yang memberi gambaran sektor buruh kekal kukuh.
Susulan laporan CPI diterbitkan di awal sesi New York, US dolar melemah seketika pada reaksi awal namun kembali paparkan pengukuhan semula menuju ke penghujung sesi.
Pelabur melihat petunjuk lebih jelas pada dasar monetari, namun akan kekal berwaspada menghampiri waktu untuk Donald Trump kembali ke White House sebagai Presiden AS baharu minggu hadapan.
Kegusaran adalah terarah berkenaan isu cukai dan tarif yang boleh memberi impak besar bukan sahaja kepada ekonomi AS sahaja, tapi pada perdagangan global.
Situasi ini akan mengimbas kembali tempoh pemerintahan Trump pada penggal terdahulu yang dihangatkan oleh isu perang dagang antara AS dan China.
Trump yang kini sudah mula mengumumkan tarif tambahan ke atas barangan import China dilihat akan kembali menyambung ‘perang’ yang terhenti itu.
Namun pada kali ini, situasi dilihat semakin parah apabila negara-negara rakan dagangnya yang lain turut terkena tempias apabila dikenalpasti berpaling tadah dari US dolar.