Ekonomi Amerika Syarikat dijangka berkembang lebih kukuh pada 2026 berbanding tahun sebelumnya, namun pertumbuhan pekerjaan kekal perlahan, berdasarkan tinjauan akhir tahun NABE. Ahli ekonomi meramalkan pertumbuhan meningkat kepada 2%, disokong oleh perbelanjaan pengguna dan pelaburan perniagaan yang lebih tinggi.
Waima begitu, tarif import baharu pentadbiran Trump dijangka menjadi hambatan utama, dengan hampir semua responden menganggapnya sebagai risiko penurunan terbesar terhadap prospek ekonomi. Penguatkuasaan imigresen yang lebih ketat turut dijangka menekan aktiviti ekonomi, manakala produktiviti lebih tinggi menjadi faktor yang berpotensi meningkatkan pertumbuhan.
Inflasi dijangka ditutup pada 2.9% tahun ini sebelum perlahan ke 2.6% pada 2026, dengan tarif menyumbang sebahagian besar tekanan harga. Ahli ekonomi melihat inflasi kekal degil walaupun pertumbuhan sederhana, menyebabkan prospek kejutan harga kekal relevan.
Pasaran buruh dijangka terus kehilangan momentum, dengan pertambahan pekerjaan sekitar 64,000 sebulan yang merupakan paras yang sederhana berbanding trend sejarah. Kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 4.5% awal 2026 dan kekal stabil sehingga hujung tahun.
Dalam keadaan inflasi sukar turun dan pengangguran meningkat hanya sedikit, Fed dijangka meluluskan pemotongan kadar kecil pada Disember dan dilihat akan memperlahankan langkah pelonggaran pada 2026. Ahli ekonomi meramalkan hanya setengah mata pemotongan tambahan tahun hadapan, menghampiri kadar neutral dasar monetari.




















































