Iran pada Rabu semalam melepaskan satu amaran keras melibatkan penggunaan peluru berpandu generasi baharu sekiranya Israel sekali lagi berniat untuk melancarkan serangan ke atas negaranya, selepas konflik berdarah 12 hari yang meragut ratusan nyawa pada Jun lalu.
Menteri Pertahanan Iran, Aziz Nassirzadeh, berkata peluru berpandu yang digunakan sebelum ini adalah keluaran beberapa tahun lalu, namun kini Iran memiliki senjata lebih canggih dan berkuasa, sekali gus tidak akan teragak-agak untuk mengerahkannya jika kedaulatan negara kembali diancam.
Israel sebelum ini melancarkan siri pengeboman terhadap Iran yang turut mengorbankan beberapa komander kanan tentera, saintis nuklear dan orang awam yang mencatatkan angka kematian sehingga 1,000 lebih orang.
Konflik itu turut menyaksikan campur tangan Amerika Syarikat dengan menyerang kemudahan nuklear Iran, sebelum gencatan senjata dimeterai pada 24 Jun.
Walaupun pertempuran terhenti, pemimpin Iran menegaskan keadaan masih tegang dan tidak mustahil perang tercetus semula pada bila-bila masa. Tentera Iran juga dijadual memulakan latihan ketenteraan dua hari esok, termasuk ujian peluru berpandu jarak pendek dan sederhana.