Tekanan terhadap kerajaan pusat semakin memuncak apabila ratusan penunjuk perasaan daripada Gerakan Rakyat Aceh Bersatu (GARAB) mengadakan demonstrasi besar-besaran di Madat, Daerah Pante Bidari, pada Selasa.
Kumpulan tersebut menuntut agar Presiden Prabowo Subianto segera mengisytiharkan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda Aceh serta Sumatera Utara sebagai Bencana Nasional.
Penyelaras protes, Dahri Sulaiman, menegaskan bahawa bencana tersebut bukan lagi sekadar fenomena alam biasa, sebaliknya telah bertukar menjadi krisis kemanusiaan yang melumpuhkan struktur kehidupan masyarakat.
Antara impak kritikal yang dilaporkan termasuk kerosakan harta benda dan fasiliti awam yang meluas, rakyat kehilangan mata pencarian akibat kemusnahan sektor ekonomi setempat serta kesukaran akses kepada air bersih, perkhidmatan kesihatan, dan pendidikan.
Pihak GARAB menuntut kerajaan Indonesia untuk mengaktif status ‘Bencana Nasional’ supaya gerak kerja bantuan akan terus disalurkan dengan mudah.
Suasana demonstrasi bertukar tegang apabila wakil rakyat mengeluarkan kenyataan politik yang keras. Beliau memberi amaran bahawa sekiranya kerajaan terus berdiam diri dan gagal membuka pintu kepada bantuan antarabangsa, gerakan tersebut tidak akan teragak-agak untuk menukar tuntutan mereka.
Beliau menegaskan bahawa kegagalan menangani krisis ini boleh mencetuskan gerakan yang lebih ekstrem, termasuk tuntutan untuk memisahkan diri daripada Republik Indonesia.























































