Sebuah jam poket emas milik pasangan warga emas yang terkorban dalam tragedi tenggelamnya kapal Titanic berjaya dilelong pada harga £1.78 juta ($2.3 juta), menurut laporan PA Media/dpa.
Jam berkenaan telah dilelong oleh Henry Aldridge dan Son Auctioneers di Devices, Wiltshire.
Jam 18 karat buatan Jules Jurgensen itu dimiliki penumpang kelas pertama Isidor Straus yang lemas ketika Titanic karam pada April 1912 sehingga meragut kira-kira 1,500 nyawa.
Beliau dan isterinya, Ida dikatakan sedang berpelukan ketika kapal itu karam seperti yang digambarkan dalam filem blockbuster Titanic arahan James Cameron pada 1997.
Jam tersebut ditemukan bersama beberapa barangan peribadi lain pada tubuh Straus dan kemudiannya dipulangkan kepada ahli keluarganya.
Isidor menerima jam itu sebagai hadiah hari lahir ke-43 pada 1888, iaitu tahun yang sama beliau dilantik sebagai rakan kongsi di gedung beli-belah Macy’s di New York.
Sementara itu, senarai penumpang Titanic dibeli dengan harga £104,000 ($136,140), manakala pingat emas yang dianugerahkan kepada kru RMS Carpathia oleh mangsa terselamat terjual pada £86,000 ($112,580).
Sepucuk surat tulisan tangan oleh Ida di atas kertas rasmi Titanic yang dihantar semasa berada di atas kapal, terjual pada harga £100,000 ($130,905).
Jurulelong menyatakan bahawa harga tersebut merupakan jumlah tertinggi yang pernah dibayar untuk ‘memorabilia Titanic’.
Rekod terdahulu dicatatkan tahun lalu apabila sebuah jam poket emas yang dihadiahkan kepada kapten bot yang menyelamatkan lebih 700 penumpang, terjual pada harga £1.56 juta ($2.04 juta).























































