US dolar paparkan penyusutan semula pada dagangan Rabu semalam ketika tumpuan pasaran diberikan kepada laporan JOLTS untuk penilaian terhadap sektor buruh di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi kebimbangan bank pusat sebelum ini.
Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell pada acara simposium Jackson Hole tempoh hari menekan pasaran pekerjaan yang berisiko, memberi isyarat penting untuk penetapan dasar monetari.
Meneliti data yang diterbitkan, jumlah tawaran pekerjaan yang dibuka pada Julai catat angka lebih rendah dari ramalan, iaitu 71.8 juta berbanding 73.8 juta.
Ini menambahkan lagi kebimbangan menjelang mesyuarat FOMC September yang bakal berlangsung beberapa minggu lagi.
Komponen pekerjaan berikutnya yang akan diperhatikan adalah laporan pekerjaan ADP pada sesi New York malam ini sebelum tumpuan utama terarah kepada laporan NFP pada Jumaat.
Jika keseluruhan data pekerjaan menunjukkan angka yang suram, semakin tinggi jangkaan untuk pemotongan kadar faedah akan dilaksanakan oleh Fed pada September.
Seperti yang dijangkakan penganalisis, mata wang US dolar kembali berundur semula dari pengukuhan yang telah dipaparkan pada Selasa lalu yang dilihat bersifat sementara.
Malah US dolar bergerak lebih lemah berbanding yen dan swiss franc untuk kategori kumpulan mata wang safe-haven.
Mata wang utama lain mula menunjukkan pemulihan perlahan untuk mengambil kesempatan situasi penyusutan US dolar.
Namun pelabur akan kekal berwaspada menjangkakan risiko dagangan di penghujung minggu menjelang terbitan data-data penting.