Penganalisis JPMorgan memberi amaran bahawa dasar perdagangan baharu Amerika Syarikat, khususnya tarif yang lebih tinggi, berpotensi memperlahankan pertumbuhan ekonomi global dan mencetuskan semula inflasi di dalam negara. Bank itu kini mengunjurkan pertumbuhan ekonomi A.S. hanya 1.3% pada tahun ini, berbanding 2% yang dijangka sebelum ini, sambil memberi amaran terdapat 40% kebarangkalian berlakunya kemelesetan pada separuh kedua 2025.
JPMorgan menyifatkan keadaan ini sebagai dorongan stagflasi, iaitu kombinasi merbahaya antara pertumbuhan perlahan dan inflasi yang berterusan satu situasi yang menghantui ekonomi A.S. pada era 1970-an. Tambahan pula, kelembapan pertumbuhan A.S. dijangka melemahkan dolar AS, berbanding mata wang lain termasuk di pasaran membangun, berikutan dasar ekonomi luar negara yang lebih menyokong pertumbuhan.
Dalam nota penyelidikan separuh tahunannya, JPMorgan turut menjangkakan permintaan terhadap bon Perbendaharaan A.S. daripada pelabur asing, Fed dan bank-bank komersial akan menurun akibat pertambahan saiz pasaran hutang negara. Premium risiko (term premium) dijangka meningkat sebanyak 40–50 mata asas, walaupun tiada lonjakan mendadak dalam hasil bon seperti pada April lalu. Hasil bon 2 tahun dan 10 tahun masing-masing diramal berada pada 3.5% dan 4.35% menjelang hujung tahun.
Namun begitu, walaupun kadar faedah dijangka hanya akan mula dikurangkan secara ketara bermula Disember hingga musim bunga 2026, JPMorgan masih mengekalkan sentimen bullish terhadap saham A.S., terutamanya disokong oleh kekuatan sektor teknologi dan AI, aliran pelaburan daripada strategi sistematik, serta pembelian daripada pelabur aktif ketika pasaran melemah sementara.