Pengukuhan US dolar sebelum ini terbantut dengan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) terbaru yang hadir dengan bacaan yang suram.
Di sesi New York pada Khamis semalam, data jualan runcit AS diterbitkan dengan bacaan bagi bulan Disember catatkan penurunan kepada 0.4%, lebih rendah berbanding ramalan 0.6%.
Bacaan jualan teras meningkat kepada 0.4% namun tidak mencapai jangkaan 0.5%.
Ini telah mengganggu momentum pengukuhan US dolar yang dilihat mula melemah untuk dagangan menuju ke penghujung minggu.
Selain berwaspada untuk aktiviti pengambilan untung pada kebiasaan dagangan di penutup minggu, pelabur juga berhati-hati menantikan acara majlis angkat sumpah Donald Trump sebagai Presiden AS ke-47 pada minggu hadapan.
Namun, penganalisis pasaran mengekalkan unjuran positif terhadap US dolar yang dilihat masih ada kelebihan dalam pasaran berdasarkan isyarat pada mesyuarat FOMC terakhir 2024, Disember lalu.
Pelabur akan mengetahui keputusan bagi mesyuarat FOMC pertama 2025 di penghujung Januari ini selepas menilai petunjuk penting pada data pekerjaan NFP dan inflasi pengguna (CPI) terbaru yang telah diterbitkan.
Ekoran situasi semasa yang berkemungkinan menyaksikan US dolar suram seketika, mata wang utama lain dalam pasaran akan cuba untuk memanfaatkan peluang untuk memulihkan nilai masing-masing.