Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa kadar pengangguran pada Oktober 2025 kekal stabil pada 3%, melibatkan seramai 518,900 penganggur.
Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa pasaran buruh negara terus menunjukkan penambahbaikan, disokong oleh aktiviti ekonomi yang rancak, pertumbuhan guna tenaga yang kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.
Beliau turut menjelaskan bahawa tenaga buruh meningkat 0.2% kepada 17.58 juta orang pada Oktober, dengan kadar penyertaan kekal 70.9%, sama seperti yang direkodkan pada September 2025.
Sementara itu, bilangan penduduk bekerja juga terus meningkat pada Oktober 2025, naik 0.2% kepada 17.06 juta orang berbanding 17.03 juta orang pada bulan sebelumnya.
Bilangan penganggur pula mencatat peningkatan kecil sebanyak 0.1% kepada 518,900 orang berbanding 518,600 orang pada September 2025.
Pada Oktober, kategori pekerja merangkumi 74.8% daripada jumlah penduduk bekerja, meningkat sedikit sebanyak 0.1% kepada 12.76 juta orang berbanding 12.74 juta orang pada bulan sebelumnya.
Pada masa sama, bilangan penduduk yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu semakin menurun, susut 1.4% kepada 233,200 orang pada Oktober 2025 daripada 236,500 orang pada bulan sebelumnya.
Prospek pasaran buruh Malaysia dijangka kekal positif dan berdaya tahan pada masa hadapan, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang sederhana, pelaburan strategik dan pembangunan modal insan.
























































