Sentimen pelabur global terhadap AI kekal positif walaupun saham teknologi mengalami jualan besar-besaran. Pasaran di Eropah, Asia dan A.S. mencatat kerugian berterusan apabila saham-saham AI seperti Nvidia dan Palantir ditekan oleh kebimbangan penilaian berlebihan.
Penganalisis pelaburan memaklumkan penurunan ini lebih kepada pembetulan sektor AI dan ianya bukan permulaan fasa pembetulan baharu. Penganalisis juga menekankan bahawa pasaran global sebenarnya sudah lama menunggu pembetulan besar, namun tekanan semasa belum cukup mendalam untuk mencetuskan perubahan struktur.
Tumpuan utama kini terarah kepada laporan pendapatan Nvidia, yang dijangka mempengaruhi sentimen pasaran. Penganalisis seperti Mike Wilson dari Morgan Stanley percaya bahawa penurunan sekarang adalah sebahagian daripada pembetulan pertengahan kitaran AI, dengan pembiayaan hutang untuk infrastruktur AI baru bermula.
Pelabur juga menilai risiko sekitar lebihan pelaburan oleh hyperscaler seperti Alphabet dan Meta, yang kini membelanjakan sehingga 70% aliran tunai untuk capex terutama pusat data. Bank of America melaporkan kebimbangan pertama dalam 20 tahun bahawa hyperscaler mungkin melabur terlalu agresif.
Walaupun AI kekal sebagai tema pelaburan utama, penganalisis memberi amaran dan buah pandangan bahawa penilaian semasa mencerminkan senario terbaik, dan pasaran sedang menyesuaikan jangkaan terhadap risiko sebenar. Namun, peluang membeli ketika harga rendah masih terbuka bagi pelabur jangka panjang, nyata segelintir penganalisis.






















































