Kerajaan MADANI akan memperkenalkan ciri keselamatan tambahan berupa kod QR pada MyKad bagi golongan generasi baharu.
Pengubahsuaian pada kad pengenalan ini membolehkan pihak berkuasa mengesahkan ketulenan setiap MyKad dengan lebih mudah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa pengesahan melalui kod QR bertujuan untuk mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan MyKad, selaras dengan piawaian keselamatan moden.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan telah meluluskan kontrak baharu bagi pembekalan kad MyKad, MyTentera dan MyPoca.
Shamsul Anuar juga berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan dapat memproses permohonan untuk mengubah maklumat pada MyKad, bergantung kepada jenis perubahan yang diminta.
MyKad baharu tersebut akan diperkenalkan mulai 1 Jun tahun hadapan.
Pihak kementerian kini sedang meneliti cadangan Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) supaya status Bumiputera dan agama dicetak pada MyKad baharu.
Permintaan itu timbul susulan insiden baru-baru ini apabila seorang pekerja bank didakwa menghina seorang warganegara Bumiputera Sarawak dengan mempertikaikan status agamanya secara terbuka.


























































