Kerajaan Selangor akan menyalurkan bantuan awal berjumlah RM500 kepada setiap keluarga daripada 750 keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa bantuan itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa MMKN mengadakan mesyuarat khas susulan kejadian banjir yang melanda daerah Kuala Selangor, Hulu Langat, Sabak Bernam, Klang dan Petaling Jaya.
Setakat jam 11:30 pagi tadi, seramai 2,784 mangsa telah ditempatkan di 21 PPS di lima daerah berkenaan.
Daripada jumlah tersebut, 221 mangsa merupakan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.
Sementara itu, pejabat daerah akan menyediakan pengangkutan percuma dari PPS ke sekolah bagi memudahkan urusan pergi dan pulang ke pusat peperiksaan masing-masing.
Amirudin juga menegaskan bahawa Yayasan MBI akan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar yang kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir supaya urusan peperiksaan berjalan lancar.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pasukan petugas di seluruh negeri yang bertungkus-lumus menyalurkan bantuan, serta mendoakan keselamatan rakyat Selangor, terutamanya mereka yang berada di PPS.
























































