Seperti yang dijangkakan penganalisis pasaran sebelum ini, US dolar kembali bergerak pada landasannya untuk melemah sejak pembukaan dagangan di awal minggu ini.
Pada minggu lepas, US dolar masih menunjukkan pengukuhan selepas keputusan mesyuarat FOMC terbaru menyaksikan pertama kali kadar faedah diturunkan untuk tahun ini.
Namun selepas keputusan tersebut dengan isyarat untuk pemotongan lanjut kadar faedah pada baki mesyuarat di penghujung 2025 ini, US dolar dilihat paparkan pengukuhan sehingga ke penutup minggu lepas.
Penganalisis pasaran melihat aktiviti pengambilan untung berlaku, dan menjangkakan penyusutan US dolar bakal menyusul yang membawa kepada corak pergerakan di awal minggu ini.
Menjadi tumpuan pada dagangan Selasa semalam, bacaan data tinjauan sektor pembuatan dan perkhidmatan telah diterbitkan untuk bulan September.
Bacaan untuk Jerman dan UK merosot dengan penurunan berbanding angka yang dicatatkan pada bulan lepas.
Sementara untuk bacaan PMI Amerika Syarikat (AS) pula, data kekal di atas paras 50 mata yang menunjukkan kedua-dua sektor masih stabil.
Untuk ekonomi AS, petunjuk penting berikutnya adalah pada bacaan akhir bagi pertumbuhan ekonomi suku kedua pada Khamis. Ramalan kekal tidak berubah pada 3.3%.
Di penghujung minggu, komponen inflasi yang menjadi petunjuk kegemaran Federal Reserve (Fed) iaitu indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan penggunaan peribadi akan menjadi tumpuan pada sesi New York, Jumaat ini.