Gabenor Federal Reserve (Fed), Lisa Cook menegaskan pada Rabu bahawa beliau tidak akan tunduk kepada tekanan untuk berundur hanya kerana beberapa soalan yang dibangkitkan di media sosial.
Kenyataan ini dibuat selepas Pengarah Agensi Kewangan Perumahan Persekutuan (FHFA), Bill Pulte, yang juga pegawai pentadbiran Presiden Donald Trump, mendakwa Cook terlibat dalam penipuan gadai janji dan menggesa beliau meletakkan jawatan atau dipecat.
Trump juga memuat naik kenyataannya di media sosial mendesak Cook meletakkan jawatan, selepas menerima surat daripada Pulte serta meminta Jabatan Kehakiman membuka siasatan jenayah terhadapnya.
Walau bagaimanapun, Cook menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa dirinya takkan berundur.
Surat Pulte kepada Peguam Negara Pam Bondi menjadi contoh terbaharu tindakan pentadbiran Trump menyasarkan pihak lawan dengan dakwaan salah laku berkaitan gadai janji.
Situasi ini juga memperlihatkan tekanan Trump terhadap Fed untuk menurunkan kadar faedah, selepas kempen terdahulu banyak tertumpu kepada Pengerusi Jerome Powell.
Cook, yang dicalonkan oleh bekas Presiden Joe Biden pada 2022, baru-baru ini mengundi mengekalkan kadar faedah tidak berubah dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan bulan lalu.