Presiden Perancis Emmanuel Macron berhadapan krisis politik selepas Perdana Menteri Francois Bayrou meletak jawatan susulan kekalahan undi percaya. Bayrou, yang hanya sembilan bulan memegang jawatan, digulingkan berikutan cadangan penjimatan bajet yang tidak popular. Macron kini perlu melantik perdana menteri baharu, calon kelima dalam tempoh dua tahun, untuk menyatukan parlimen dan meluluskan bajet negara.
Cabaran utama pengganti Bayrou adalah mengurangkan defisit Perancis yang mencecah hampir dua kali ganda paras dibenarkan EU dan hutang negara sebanyak 114% daripada KDNK. Nama Menteri Pertahanan Sebastien Lecornu disebut sebagai calon, tetapi Macron mungkin memilih tokoh kiri-tengah atau teknokrat. Sementara itu, tinjauan menunjukkan Jordan Bardella dari parti kanan jauh RN menjadi pilihan rakyat untuk jawatan tersebut.
Tekanan terhadap Macron semakin meningkat apabila RN mendesaknya berundur atau mengadakan pilihan raya tergempar. Parti Sosialis pula menegaskan bahawa sudah tiba giliran mereka untuk memimpin. Situasi ini menambah kepada parlimen yang sudahpun berpecah sejak pilihan raya mengejut tahun lalu, menjadikan pentadbiran harian semakin sukar.
Ketidakstabilan politik ini turut menjejaskan keyakinan ekonomi. Pemimpin industri memberi amaran bahawa pelaburan dan pengambilan pekerja semakin perlahan. Pasaran kini sedang memantau rapat perkembangan yang berlaku.