Malaysia memberi tumpuan untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui, dengan nilai pelaburan diluluskan bagi Januari hingga Jun 2025 berjumlah RM190.3 bilion.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sentiasa proaktif merangka dasar baharu bagi memperkukuh daya saing sektor teknologi yang semakin diyakini pelabur antarabangsa.
Menurut beliau, Rangka Kerja Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) memberi tumpuan kepada sektor digital dan hijau, manakala Pejabat Pelaburan Digital (DIO) ditubuhkan melalui kerjasama antara MIDA dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi memudah cara pelaburan digital.
Antara langkah kerajaan termasuk pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Strategi Semikonduktor Kebangsaan dan Strategi Pelaburan Hijau.
Selain itu, kerajaan turut memperkukuh ekosistem rantaian bekalan tempatan-antarabangsa, mewajibkan kerjasama vendor tempatan, melaksanakan program latihan industri serta membangunkan portal i-Services bagi menghubungkan penyedia perkhidmatan dengan pelabur.
Pada separuh pertama 2025, Malaysia berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM190.3 bilion, meningkat 18.7% berbanding tempoh sama pada 2024.