Malaysia muncul sebagai penerima manfaat terbesar dalam pengecualian tarif Amerika Syarikat (AS), mengatasi rakan serantau seperti Thailand dan Vietnam, menurut CGS International Research.
Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa lebih 60% eksport Malaysia ke AS kini menikmati tarif sifar, menjadikan negara ini peneraju di rantau ASEAN.
Selepas pengecualian tarif pada 26 Oktober, CGS menganggarkan Malaysia kini mempunyai lebih 60% produk yang dikecualikan cukai import, berbanding sekitar 40% bagi Thailand dan Vietnam.
Namun begitu, pendedahan kepada tarif AS dilihat tidak seimbang di seluruh rantau. Vietnam kekal paling terdedah, dengan kira-kira 16.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bergantung kepada eksport ke AS mencerminkan pergantungan tinggi terhadap pasaran tersebut.
Bagi Malaysia dan Thailand, pendedahan langsung kepada tarif AS berada pada paras satu digit, manakala Indonesia dan Singapura yang tidak menerima pengecualian pada 26 Oktober turut mencatat risiko rendah terhadap kesan tarif.
Walaupun begitu, CGS International menegaskan bahawa risiko tarif di ASEAN tidaklah seteruk yang dibimbangi pasaran, memandangkan pelaksanaan langkah-langkah tersebut dijangka dilakukan secara berperingkat dengan dasar yang lebih fleksibel terhadap negara rantau ini.
Washington juga dijangka menggunakan pendekatan beransur-ansur dalam menaikkan tarifnya, memberi ruang kepada ekonomi ASEAN untuk menyesuaikan strategi dan meminimumkan gangguan rantaian bekalan.
Firma itu menyimpulkan bahawa ASEAN kini giat mempelbagaikan perdagangan bagi mengurangkan kesan tarif timbal balik, termasuk dengan mengusahakan perjanjian perdagangan bebas dua hala bersama Kesatuan Eropah (EU).











			











































