Kerajaan Malaysia mempertimbangkan cadangan untuk mengambil peranan sebagai pengantara dalam usaha mencapai perdamaian di negara konflik, Sudan.
Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, perkara ini memerlukan perbincangan mendalam memandangkan konflik di Sudan turut menjejaskan kepentingan Malaysia, termasuk pelaburan.
Berucap ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, beliau menyatakan keamanan Sudan menjadi keutamaan Malaysia yang mempunyai kepentingan yang begitu besar.
Mohamad Alamin menegaskan bahawa Malaysia mempunyai pengalaman dalam mendamaikan beberapa konflik antarabangsa, antaranya ketika menjadi fasilitator rundingan damai antara Thailand dan Kemboja pada Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini.
Terdahulu, Duta Besar Sudan ke Malaysia, Hassan Abdelsalam Omer, memuji Malaysia sebagai rakan yang boleh dipercayai dan suara utama dalam memperjuangkan keamanan sejagat.
Usul untuk Malaysia menggunakan kedudukannya dalam OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dalam memimpin inisiatif perdamaian untuk Sudan turut dibangkitkan ketika sesi perbahasan.
Namun dalam pada itu, Mohamad Alamin menegaskan bahawa sebarang penglibatan akan dilakukan selepas penilaian komprehensif dan bekerjasama rapat dengan pihak Sudan serta rakan antarabangsa.





















































