Sejak 2024, Malaysia telah menyalurkan lebih $42 juta (RM177 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan dan pemulihan kepada Gaza, sekaligus menunjukkan komitmen berterusan negara terhadap rakyat Palestin.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) kekal sebagai nadi penting bagi pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Syria dan Jordan.
Beliau turut menggesa negara anggota PBB memastikan mandat agensi itu tidak terganggu, dengan terus menyokong UNRWA agar bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak terputus.
Mohamad Hasan menegaskan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan Jordan, Mesir dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk melancarkan usaha tersebut.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Penyokong Palestin hari ini.
Sejak tahun lalu, Malaysia telah menyumbang $17 juta (RM72 juta) menerusi Tabung Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin.
Tambahan $25 juta (RM100 juta) juga disalurkan, selaras pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, bulan lalu.
Malaysia akan terus menyokong mandat UNRWA bagi memastikan pelarian Palestin di wilayah terjejas menerima bantuan serta perlindungan secara berterusan.