Malaysia bersedia menghantar satu batalion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Gaza bagi menyertai pasukan pengaman sekiranya menerima mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata segala persiapan untuk penugasan tersebut telah pun dibuat, dan Malaysia kini hanya menunggu keputusan rasmi Majlis Keselamatan PBB sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Beliau menjelaskan pasukan yang akan digerakkan bukan daripada kontinjen sedia ada di Lubnan, sebaliknya melibatkan batalion baharu yang disediakan khusus untuk misi Gaza.
Mengulas mengenai kos operasi, Khaled menegaskan bahawa perkara itu bukan keutamaan pada masa ini kerana fokus utama ialah membantu penduduk Gaza.
Terdahulu, media melaporkan Malaysia bersedia menghantar pasukan pendamai ke Gaza bagi menjamin keamanan susulan perjanjian pelan damai yang ditandatangani di Mesir semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menjelaskan bahawa perkara berkaitan penghantaran pasukan pengaman itu akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sebelum diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB.