Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan piawaian halal negara semasa rundingan tarif dengan Amerika Syarikat, walaupun proses itu dianggap kompleks dan mencabar.
Beliau berkata antara isu yang dibangkitkan Washington adalah pensijilan halal Malaysia, yang dilihat sebagai halangan bukan tarif.
Bagaimanapun, Kabinet telah memutuskan bahawa piawaian halal Malaysia adalah ‘garisan merah’ yang mesti dipertahankan dan itulah yang sedang MITI lakukan.
Menurut Zafrul, walaupun Malaysia bersetuju untuk memudahkan proses pengimportan bagi produk tertentu yang diperakui halal, negara tetap teguh mempertahankan piawaian halal bertaraf dunia.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada pembukaan Sidang Kemuncak Halal Global (GHAS) 2025, yang diadakan sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2025, pada Jumaat.
Jelasnya, industri halal bukan hanya isu nasional atau dua hala, sebaliknya melibatkan pasaran global dengan lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia.
Dengan nilai pasaran halal global kini berjumlah $3.5 trilion (RM14.74 trilion) dan dijangka mencecah $5 trilion menjelang 2030, kerjasama pelbagai hala dalam industri halal adalah keperluan.
Beliau menambah, pembangunan masyarakat dan ekonomi akan turut membentuk dunia serta menentukan masa depan kolektif. Justeru, memperkukuh dunia Islam dari segi ekonomi, kelestarian dan keterangkuman adalah penting bagi memastikan suara Islam lebih didengari di pentas global.