Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar semalam menggesa penganut Yahudi di negara-negara Barat supaya berpindah ke Israel.
Seruan ini dibuat susulan peningkatan sentimen anti-Yahudi (antisemitism) yang membimbangkan, terutamanya selepas insiden tembakan yang meragut nyawa 15 orang dalam satu majlis kebudayaan di Sydney.
Saar turut menjelaskan bahawa setiap penganut Yahudi berhak menjalani kehidupan dengan selamat tanpa mengira lokasi keberadaan mereka.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keadaan semasa menunjukkan masyarakat Yahudi kini berhadapan dengan ancaman yang semakin serius di seluruh dunia.
Sejak tercetusnya konflik di Gaza pada 7 Oktober 2023, pemimpin Israel menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan sentimen anti-Yahudi di negara-negara Barat.
Israel juga menuding jari terhadap kerajaan-kerajaan tersebut kerana didakwa kurang berkesan dalam menangani penyebaran sentimen berbahaya ini.
Pihak berkuasa Australia mengesahkan bahawa serangan di majlis Hanukkah di Pantai Bondi, Sydney pada 14 Disember lalu diinspirasikan oleh ideologi kumpulan pengganas Daesh.
Kejadian itu mencetuskan reaksi sekeras-kerasnya daripada pemimpin Israel dan mengukuhkan lagi seruan agar penganut Yahudi mencari tempat perlindungan yang lebih selamat.
Pada Selasa lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut menggesa kerajaan-kerajaan Barat agar mengambil langkah lebih proaktif dalam melindungi warga berketurunan Yahudi di negara mereka.
Di bawah Undang-undang Kepulangan Israel 1950, setiap penganut Yahudi di seluruh dunia mempunyai hak untuk menetap di Israel dan memperoleh kewarganegaraan.
Undang-undang ini juga meliputi individu yang memiliki sekurang-kurangnya seorang datuk atau nenek berketurunan Yahudi.
Langkah ini dianggap sebagai usaha Israel bagi memastikan keselamatan dan hak komuniti Yahudi di tengah-tengah ketegangan global yang semakin memuncak.






















































