Presiden AS Donald Trump pada Selasa menyeru pengurangan besar-besaran penghijrahan global dan menggesa dunia meninggalkan dasar perubahan iklim dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB.
Klip ucapannya yang menimbulkan suasana hening seketika apabila memberi amaran tegas di hadapan pemimpin-pemimpin dunia dengan menyebut “Negara kamu akan masuk neraka”.
Ucapan selama 56 minit itu disifatkan sebagai antara yang paling agresif, penuh kritikan terhadap pemimpin dunia dan badan antarabangsa tersebut.
Trump, yang sering menghentam PBB semasa penggal pertamanya, kali ini menerima tepukan hambar ketika beredar dari dewan.
Sebahagian besar ucapannya menekankan dua isu yang sering menjadi rungutan beliau iaitu imigresen dan perubahan iklim.
Trump menggambarkan dasar imigresen ketat AS sebagai contoh yang perlu diikuti negara lain untuk membendung penghijrahan besar-besaran, yang menurutnya mengubah struktur negara.
Pentadbiran Trump juga bercadang membawa cadangan mengehadkan hak suaka secara drastik ke PBB pada akhir bulan ini, dalam usaha membatalkan rangka kerja perlindungan kemanusiaan yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua.
Trump turut menolak dasar sekutu yang menyokong Palestin ketika Israel melancarkan serangan terbaharu di Gaza, serta menggesa negara Eropah mengenakan sekatan ekonomi seperti yang dicadangkannya terhadap Rusia bagi menamatkan perang di Ukraine.
Beliau baru-baru ini bertemu Raja Charles di Istana Windsor, menggelar perubahan iklim sebagai tipu helah dan menggesa dunia kembali bergantung kepada bahan api fosil.
Saintis pula menegaskan perubahan iklim berpunca daripada aktiviti manusia adalah nyata dan semakin membimbangkan.