Laporan pekerjaan NFP Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada sesi New York Jumaat lalu telah memberi impak kritikal terhadap pergerakan mata wang US dolar di penutup minggu tersebut.
Ini berikutan angka pertambahan pekerjaan pada bulan Ogos hanya mencatatkan 22,000 sahaja, jauh lebih rendah dari ramalan 75,000.
Selain itu, kadar pengangguran turut tepati ramalan untuk meningkat kepada 4.3% daripada 4.2% sebelumnya.
Bacaan tersebut juga menyusuli laporan ADP hari sebelumnya yang turut menunjukkan pertambahan pekerjaan swasta yang lebih perlahan.
Situasi yang menggambarkan kemerosotan sektor buruh di Amerika ini telah menguatkan lagi jangkaan untuk pemotongan kadar faedah bakal dilaksanakan pada mesyuarat FOMC minggu hadapan.
Ini sekaligus mendorong penyusutan jelas pada nilai dagangan US dolar yang akan membuka ruang kepada mata wang utama lain untuk meningkat pada minggu ini pula.
Untuk menambahkan lagi petunjuk jelas buat Federal Reserve (Fed), laporan data inflasi AS akan diperhatikan minggu ini.
Indeks harga pengguna (CPI) dan pengeluar (PPI) akan mempengaruhi keputusan mesyuarat FOMC yang ketika ini dilihat cenderung untuk melaksanakan pemotongan kadar faedah selepas laporan pekerjaan diteliti minggu lalu.
Pelabur menjangkakan prestasi suram berterusan buat US dolar pada minggu ini, namun perlu diperhatikan isu-isu tumpuan semasa yang boleh mempengaruhi perubahan pada sentimen pasaran.