Harga minyak mentah dunia meningkat pada Isnin selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutu, Opec+ memutuskan untuk menangguhkan rancangan kenaikan pengeluaran pada suku pertama 2026.
Langka ini dilihat meredakan kebimbangan lebihan bekalan minyak mentah dalam pasaran global, sekaligus mendorong kenaikan harga.
Niaga hadapan minyak Brent naik 24 sen atau 0.37% kepada $65.01 setong manakala WTI Amerika Syarikat (AS) meningkat 21 sen atau 0.34% kepada $61.19 setong.
Opec+ bersetuju untuk menaikkan pengeluaran sebanyak 137,000 tong sehari pada Disember tetapi akan menghentikan sementara kenaikan itu antara Januari hingga Mac 2026 kerana faktor bermusim.
Ketua penyelidikan komoditi ING, Warren Patterson berkata keputusan itu menunjukkan kesedaran terhadap lebihan bekalan yang dijangka berlaku awal tahun depan akibat ketidaktentuan sekatan AS terhadap minyak Rusia.
Ketua strategi RBC Capital, Helima Croft pula menegaskan Rusia kekal sebagai faktor utama selepas Washington mengenakan sekatan terhadap Rosneft dan Lukoil serta serangan dron Ukraine yang mengenai pelabuhan minyak Tuapse di Laut Hitam.
Harga Brent dan WTI sebelum ini masing-masing jatuh lebih 2% pada Oktober, mencatat kejatuhan tiga bulan berturut-turut berikutan kebimbangan lebihan bekalan dan tekanan ekonomi akibat tarif perdagangan AS.
Penganalisis menjangka harga minyak kekal stabil apabila peningkatan pengeluaran Opec+ dan permintaan perlahan mengimbangi risiko geopolitik terhadap bekalan global.


















































