Niaga hadapan saham Amerika Syarikat (AS) kekal stabil apabila indeks utama Wall Street mencapai paras tertinggi, didorong oleh keyakinan terhadap kemungkinan pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) serta kemajuan dalam rundingan perdagangan AS-China.
Indeks S&P 500 meningkat 0.1% kepada 6,914.50 mata, Dow Jones menokok 0.1% kepada 47,749.0 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada sektor teknologi naik 0.2% kepada 26,008.75 mata.
Kenaikan itu turut disokong oleh pembelian meluas merentasi sektor, diterajui oleh saham teknologi dan pengguna budi bicara, sementara para pelabur bersiap sedia menghadapi minggu penting melibatkan keputusan bank pusat dan acara korporat utama.
Tumpuan pasaran kini beralih kepada mesyuarat dasar dua hari Fed yang bermula pada Rabu jam 9:00 malam waktu Malaysia, dengan jangkaan meluas bahawa bank pusat itu akan menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
Langkah itu bakal menjadi pengurangan kadar kedua tahun ini, sekaligus menurunkan kadar dana persekutuan kepada julat 3.75% hingga 4.00%.
Keyakinan terhadap pemotongan tersebut meningkat selepas laporan Indeks Harga Pengguna (CPI) September menunjukkan bacaan yang lebih rendah daripada jangkaan.
Sentimen pelabur juga diperkukuh oleh tanda-tanda ketegangan perdagangan AS-China yang semakin reda selepas rundingan di Kuala Lumpur, sekaligus membuka laluan kepada perjanjian rangka kerja baharu.
Perjanjian tersebut dijangka dimuktamadkan apabila Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping akan mengadakan pertemuan pada hujung minggu ini.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu berkemungkinan merangkumi perbincangan mengenai pembatalan sebahagian tarif sedia ada serta pengurangan sekatan terhadap eksport nadir bumi.
Sementara itu, saham Qualcomm meningkat lebih 11%, mengukuhkan sektor cip secara keseluruhan selepas melancarkan cip kecerdasan buatan (AI) baharu dalam usaha menyaingi peneraju pasaran seperti Nvidia dan AMD.





















































